Sejarah Kg Benoni, Papar
by Warga Papar on Sunday, December 26, 2010 at 8:40pm
Kampung Benoni, dalam daerah Papar, Sabah merupakan sebuah penempatan yang mempunyai sejarah penerokaan dan perkembangan masyarakat yang agak menarik untuk diberi perhatian. Letaknya lebih kurang 5 km dari pekan Papar, manakala jaraknya dari bandaraya Kota Kinabalu ialah 48 km. Majoriti masyarakat yang mendiaminya adalah berketurunan Melayu-Brunei. Namun maklumat yang berkaitan dengan asal-usul, perkembangan dan perubahan yang dialami oleh masyarakat di kampung tersebut perlu diketengahkan, khususnya dalam konteks untuk memenuhi keperluan bagi mengisi maklumat-maklumat baru yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat lokal di Negeri Sabah.
Masyarakat Melayu-Brunei adalah salah satu kaum pribumi di Negeri Sabah yang amat kaya dengan warisan kebudayaannya yang unik dan tersendiri dan adalah sewajarnya diketahui oleh anak bangsanya sendiri. Khazanah warisan ini akan hilang begitu sahaja dibawa arus zaman era milinieum yang semakin canggih lagi mencabar pada ketika ini seandainya ia tidak diberi perhatian khusus.
Di Daerah Papar, suku kaum ini mencatatkan peratusan penduduk yang paling ramai berbanding kaum pribumi yang lain. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kampung Benoni adalah satu-satunya kawasan penempatan masyarakat Melayu-Brunei yang paling tinggi di negeri Sabah iaitu melebihi 90 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya yang berjumlah lebih kurang 3452 orang dengan bilangan isi rumah berjumlah 624 buah. Perangkaan ini berdasarkan bancian pada tahun 2000, di mana pada tahun itu jumlah penduduk di daerah Papar adalah sebanyak 16,645 orang. Ini jelas menunjukkan bahawa kampung Benoni sahaja menyumbang sebanyak 20.7% penduduk bagi daerah Papar. Bancian pada tahun tersebut juga menyatakan bahawa jumlah keseluruhan penduduk Sabah pada tahun itu adalah seramai 477,638 orang di mana 3.5% daripadanya tinggal di daerah Papar.
Umumnya kini, Kampung Benoni dibahagikan kepada enam bahagian iaitu yang utama ialah kawasan Padang Daun, Darat, Tengah, Ulu dan kawasan kampung Seberang. Tarikh sebenar pembukaan dan penerokaan kampung ini adalah sukar untuk dipastikan. Tetapi menurut sumber-sumber lisan, adalah dipercayai bahawa kampung ini dibuka pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Menurut sejarah awalnya, penempatan masyarakat di kampung ini adalah tertumpu di sepanjang pesisir-persisir sungai yang pernah menjadi pangkalan perdagangan dengan Negara Brunei Darussalam. Kini sungai yang dimaksudkan ini masih wujud dan dikenali sebagai Sungai Benoni dan masih lagi menjadi nadi perhubungan masyarakat Melayu-Brunei yang melibatkan diri dengan aktiviti nelayan.
Adalah dipercayai ekonomi masyarakat Melayu-Brunei pada waktu itu lebih kepada aktiviti berdagang, mencari hasil laut seperti menjadi nelayan dan ada juga bertukar barang dengan pedagang yang datang berlabuh di Sungai Benoni. Sungai menjanjikan sumber pendapatan kepada masyarakat Melayu-Brunei pada waktu tersebut. Dan mengikut sumber lisan kebanyakan berpendapat bahawa masyarakat bangsa Brunei dari Negara Brunei Darussalam yang berdagang di pangkalan Sungai Benoni adalah pengasas awal kepada pembukaan kampung Benoni, Papar yang ada sekarang ini.
Tidak banyak pendapat yang boleh menyatakan kemunculan asal-usul nama Kampung Benoni yang telah wujud sejak seratus tahun yang lalu itu. Menurut Hajah Dayang Selong Sarapuddin, 94 tahun, nama Benoni telah digunakan sejak dahulu lagi iaitu ketika zaman Negeri Sabah di bawah pentadbiran SBBU (Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1881) orang British sering menggelar kampung ini sebagai `Paraca'. Mengikut bahasa Brunei sebutan Paraca membawa maksud kain buruk yang sudah lama digunakan.
Menurut pendapat lain, perkataan Benoni ini adalah daripada pelat bahasa Cina oleh pedagang-pedagang yang sering berkunjung ke pangkalan Benoni membawa barang dagangan berupa tembikar dan tembaga untuk dijual atau bertukar barang dengan penduduk tempatan. Mereka tidak boleh menyebut dengan betul perkataan Brunei dan sebutan Brunei telah menjadi ‘Benunei'. Lama-kelamaan nama ini menjadi sebut-sebutan semua orang dan akhirnya berukar menjadi nama Kampung Benoni.
Selain itu terdapat juga sumber mengatakan nama Kampung Benoni ini juga dipercayai daripada sebutan bahasa masyarakat Dusun iaitu ‘Menonih' yang membawa maksud tanjung sungai dan hasilnya. Kampung Benoni juga dipanggil ‘Abai Tamau‘ oleh masyarakat Kadazan pada awal pembukaannya. Perkataan ‘Abai' bermaksud Brunei dan ‘Tamau' yang membawa erti kampung. Iaitu merujuk kepada orang Brunei yang tinggal di kampung ini.
Masyarakat Melayu-Brunei Kampung Benoni Papar di Negeri Sabah ini adalah dipercayai berasal dari keturunan masyarakat Brunei di negara Brunei Darussalam. Sumber ini jelas dibuktikan melalui pendapat beberapa orang Sejarawan. Menurut Robert Nicroll, mengatakan bahawa orang Melayu-Brunei berasal dari Daerah Funan. Mereka telah dihalau oleh orang Cina sebagai pelarian. Mereka telah mencari penempatan baru di Pulau Jawa Tengah pada abad ke-7 dan ada yang telah sampai ke pesisiran Pantai Barat Borneo dan Teluk Brunei. Mereka telah berjaya membina kerajaan sehingga ke Pulau Borneo Utara. Atas fakta inilah, dipercayai bahawa masyarakat Melayu-Brunei di Negeri Sabah ini berketurunan orang Melayu-Brunei yang terdapat di negara Brunei Darussalam.
Menurut Sanib Said, dalam penyelidikannya tentang kerajaan Brunei juga bersetuju dengan teori yang dikemukakan oleh Pehin Orang Kaya Ratna Diraja dan Seri Utama iaitu Hj Mohd Zain Hj Sarudin bahawa masyarakat Melayu Brunei di Negeri Sabah berasal daripada keturunan Pagar Ruyung. Beliau juga mengatakan bahawa perkataan Srivijaya di Borneo adalah sama dengan perkataan di Palembang. Penghijrahan dikatakan telah berlaku pada abad ke-9 dan bukan setakat ke Teluk Brunei tetapi terus ke Pantai Barat Sabah. Kampung Benoni dalam Daerah Papar adalah salah satu penempatan suku kaum Brunei yang berasal dari negera Brunei Darussalam ini.
Kedua-dua teori ini telah bersetuju bahawa masyarakat Melayu-Brunei di Negeri Sabah ini adalah merupakan satu rumpun yang berasal daripada negara Brunei Darussalam. Sejarah Malaysia juga telah membuktikan bahawa Negeri Sabah pernah ditakluki oleh kerajaan Kesultanan Brunei sebelum diserahkan kepada Kerajaan Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1877. Pada masa Sabah berada di bawah pentadbiran Kerajaan kesultanan Melayu-Brunei, masyarakat negara Brunei boleh bergerak bebas ke daerah-daerah yang berada di bawah pentadbirannya terutama daerah-daerah persisiran di persekitaran Teluk Brunei iaitu Sipitang, Weston, Beaufort, Membakut, Labuan, Kimanis dan juga Daerah Papar. Malah masih ada lagi hubungan yang kekeluargaan yang erat antara masyarakat Brunei di Sabah dengan masyarakat Melayu-Brunei di Brunei Darussalam.
Walau bagaimanapun perpindahan masyarakat Melayu-Brunei ke Negeri Sabah telah membawa bersama kebudayaan mereka. Ini jelas dilihat dalam struktur ekonomi, sosial, bahasa dan juga agama masyarakat Brunei di Sabah. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui nama yang digunakan oleh masyarakat Brunei di Kampung Benoni iaitu banyak memakai gelaran Dayang, Awang, Ampuan dan Pengiran hingga ke hari ini. Malah bahasa di kampung ini juga kekal menggunakan bahasa Brunei dalam pertuturan dan perhubungan mereka sehari-hari.
Penghijrahan masyarakat Melayu Brunei mengikut kedua-dua sumber mengatakan bahawa bukan hanya tertumpu di bahagian Teluk Brunei sahaja, malah penghijrahan ini diteruskan hingga ke Negeri Sabah. Ini bermakna penghijrahan masyarakat Melayu-Brunei memakan masa yang lama dan merebak ke daerah-daerah lain di Negeri Sabah, dan salah satunya di daerah Papar iaitu di kampung Benoni.
Masyarakat yang mendiami dan membuka kampung Benoni ini adalah masyarakat Melayu-Brunei yang memang berasal dari Negara Brunei Darussalam. Malangnya tokoh yang dipercayai bertanggungjawab kepada pembukaan kampung ini tidak dapat dipastikan dengan sahih tetapi menurut Hajah Dayang Lipah Bt Mamin, dahulunya seorang wakil kerajaan Brunei sering datang ke sini dalam urusan perdagangan. Tokoh yang dimaksudkan ialah Pangeran Betawi dan telah berkahwin dengan penduduk awal di kampung ini. Daripada perkahwinan Pangeran Betawi inilah kononnya telah melahirkan keturunan Brunei di kampung Benoni ini.
Masyarakat Brunei yang menetap di kampung ini keseluruhannya beragama Islam. Sesetengah sumber mengatakan bahawa masyarakat yang tinggal di kampung ini juga terdiri daripada suku kaum Kedayan iaitu salah satu suku bangsa yang juga menetap di Negara Brunei. Adalah juga dikatakan bahawa masyarakat ini berhijrah ke Pulau Labuan untuk bekerja sebagai peladang. Penghijrahan bangsa Kedayan ini dari kampung Benoni ke Labuan disebabkan faktor ekonomi Pulau Labuan yang menjanjikan pulangan yang lebih baik berbanding aktiviti ekonomi masyarakat kampung Benoni yang bergantung kepada hasil-hasil laut dan perdagangan pada awal 1930-an.
Sumber: benoni.itgo.com